Abang Izz Ada!
June 15, 2013 posted by mukminosem

Surah Kahfi: Kisah Zulkarnain (Bahagian II)

Surah Kahfi: Kisah Zulkarnain (Bahagian II)

Assalamualaikum semua. Apa khabar?

Di dalam kesempatan ini, saya ingin menyambung perkongsian saya berkenaan Surah al-Kahfi. Surah yang mengandungi pelbagai pengajaran menarik kerana kisah-kisah yang terkandung di dalamnya.

Seperti yang saya janjikan di dalam tulisan sebelum ini saya mahu menyentuh pengajaran daripada Kisah Zulkarnain di dalam membina sebuah negara yang diredhai dan diberkati Allah s.w.t.

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya” (Surah kahfi:83)

Kisah Zulkarnain menerangkan 4 ciri yang penting berkenaan fikh politik di dalam Quran. Kisah ini menerangkan asas-asas Pembinaan Negara yang Maju:

1) Pemimpin yang salih, adil, abid (kuat beribadah), mujahid (berjuang)
2) Perlembagaan yg adil
3) Bangsa yang tinggi kemahuan dan cita-cita, digembeleng sepenuhnya tenaga mereka
4) Kemajuan Negara yang tinggi

Tulisan pada kesempatan kali ini saya hanya akan menyentuh ciri yang pertama sahaja.

Pertama: Pemimpin yang salih, adil, abid (kuat beribadah), mujahid (berjuang)

Menurut Dr Yusri Hani, banyak kitab-kitab yang menceritakan tentang nasab keturunan Arab, Zulkarnain dikatakan berasal daripada satu kabilah arab bernama Bani Himyar.

Juga menurut Imam az-Azraki di dalam kitab Akhbar Makkah wa Ma Ja’a minal Athar yang disahihkan oleh Ibnu Kathir:

Ketikamana Zulkarnain mendengar Nabi Ibrahim a.s sedang membina kaabah, beliau telah menuju ke sana dan bertemu dengan baginda. Mereka menyempurnakan binaan tersebut dan melakukan tawaf pertama selepas Zulqarnain memeluk Islam di tangan Nabi Ibrahim as. Lalu beliau dididik dan diasuh oleh baginda sehingga menjadi pemimpin yang salih, bertakwa. (Akhbar Makkah wa Ma Ja’a minal Athar)

Pengajaran:

Zulkarnain ketika melakukan tanggungjawab sebagai ketua Negara dan negarawan di dalam membina negara di atas prinsip kebenaran, telah melalui proses didikan oleh Nabi Ibrahim a.s. Baginda a.s telah mendidik Zulkarnain dngn baik dan mengeluarkan kelebihannya. selepas beberapa lama memerhati bahawa beliau mempunyai potensi, kemampuan, kreativiti dan kelebihan dalam memimpin. Baginda telah mengeluarkan dan meyalurkan kelebihan dan kemampuan ini untuk diberikan kepada proses membina dan menyatukan dunia di bawah panji kebenaran Islam.

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya (Surah kahfi:84)

Ini merupakan pengajaran paling penting untuk Pemimpin yang berjiwa murobbi. Mereka hendaklah mengeluarkan segala kelebihan anak didik mereka. Tidak cukup dengan itu, mereka mesti menolak kelebihan itu untuk menghasilkan sesuatu. Menghasilkan sesuatu supaya kebaikannya dimanfaatkan oleh penghuni dunia seluruhnya.

Kita juga mendapati Rasulullah s.a.w juga telah bergerak di atas jejak yang sama. Baginda telah mengeluarkan potensi para sahabat untuk menolong Islam. Baginda bersabda:

“Di kalangan umatku yang paling belas kasihan adalah Abu Bakar” (al-Hadis)

Umat ini perlu kepada sifat belas kasihan. Sifat ini di dalam menegakkan kebenaran perlu kepada sifat kuat yang ada pada Umar untuk menyokongnya. Rasulullah tidak pernah membezakan orang yang baru memeluk Islam dan terlewat dari aspek sumbangan mereka kepada Islam. Baginda mengenal pasti bakat dan kelebihan sahabat dan digunakan pada tempatnya. Lihat sahaja di dalam Peperangan Zatus Salasil, baginda s.a.w telah melantik Amru al-A’as yang baru sahaja beberapa bulan memeluk Islam untuk mengetuai peperangan itu sedangkan para sahabat besar seperti Abu Bakar, umar dan lain-lain turut serta dan menjadi tentera biasa.

Ya, Sesuatu yang baik mesti lahir daripada sesuatu yang baik jua. Kenali potensi kita jua potensi kawan-kawan kita untuk disalurkan kepada perkara yang baik. Semoga kita berjumpa lagi di dalam tulisan akan datang 

Comments are closed.

Facebook Comments